Kontrovesi

Nak jadi pengasuh kena ada naluri minat terhadap kerja itu, bukan sekadar nak duit

loading...


IBU BAPA DEMAND

Siapa yang hantar anak pada pengasuh? Bagaimana kita melayan pengasuh anak kita? Pengasuh anak kita, jahat atau baik? Berapa ratus ringgit yang kita bayar pada pengasuh? RM300, RM400 atau RM1,000?

Kita hantar anak seawal jam 6.30 pagi, 7 pagi, 8 pagi dan dijemput pulang pada waktu petang tak tentu masa. Kadang-kadang sampai terlajak waktu, tentu pernah berlaku, kan? 

Kita nak pengasuh menjaga anak kita dengan baik, betul tak? Sebagai ibu bapa, sudah semestinya kita mahu pengasuh menjaga anak kita seperti anaknya sendiri tetapi pernah tak terfikir yang kita bila berada di rumah nak buat kerja pun puas melalak dengan anak kita. Kadang-kadang anak yang baru nak belajar mengenal erti meniarap, merangkak, nak berdiri pun kita terlepas pandang. Ada yang terjatuh, tergolek bagai. Itu dia duduk dengan kita, sudah tentulah kita kata anak kita baik, tak nakal tetapi budak-budak ini suka explore benda-benda baru. Dalam otaknya nak kenal dan bermain sahaja. 

Tolonglah, sebagai ibu bapa jangan terlalu demand sangat seperti pengasuh itu dibayar dengan bayaran RM1,000 sebulan. Awak sebagai ibu bapa, kalau dah dapat pengasuh yang baik, janganlah nak tinggi kepala sangat dan buat pengasuh seperti orang gaji. Suka hati nak hantar jam berapa, nak ambil jam berapa. Mereka juga ada kehidupan mereka sendiri. 

Sekali sekala bagilah barang dapur. Tak luak pun duit kita kalau anggap sedekah untuk orang yang menjaga anak kita. Ini sikit-sikit nak mengadu. 

"Hari ini pengasuh saya beritahu, anak saya terhantuk sikit di kerusi semasa dia merangkak. Saya sedih sebab pengasuh tak dapat menjaga anak saya dengan baik walhal setiap bulan saya bayar RM250 on time." 

Makan, minum, mandi, potong kuku bagai semuanya pengasuh. Kau buat apa? Mengangkang saja? Tolonglah, RM250 untuk 25 hari jaga anak itu tak berbaloi pun. Macam saya katakan tadi, anak duduk dengan awak pun confirmlah ada terhantuk, terlentang, tergolek. Inikan pula dengan pengasuh.

Betul kerja dia menjaga anak awak tetapi kalau anak awak dah super duper hyperaktif memanjat sana sini. Maafkan sajalah, bukan pengasuh itu sengaja. Lainlah cerita kalau memang pengasuh itu jahat atau gila. 

Memang tak ada perasaan ke buat pengasuh macam orang gaji? Lebih-lebih lagi ibu muda yang tak habis enjoy lagi. Nak tengok wayang hari cuti pun, dihantar anak pada pengasuh. Kalau pengasuh tak nak jaga, awak potong gaji pengasuh. Tetapi bila waktu awak terlajak, pengasuh minta tambah duit awak dah berkira. Awak tahu tak hati manusia ini, berbeza? Jangan sampai pengasuh itu berdendam, memang menangis tak berlaku nanti. 

Selalu dengar segelintir ibu bapa berkata:

"Dah kalau macam tu, baik tak payah jadi pengasuh!" 

Hai manusia, dia pun sama seperti kamu mencari rezeki untuk menampung belanja keluarga. Dan kalau majikan kau buat macam itu pada kau, marah tak? Takkan tak marah? Pengasuh juga adalah manusia biasa. Kadang-kadang kalau silap sikit, cuba bandingkan dengan kebaikan yang dia dah buat sebelum ini. Janganlah disebabkan anak terhantuk dinding sikit pun dah nak mengamuk.

Betu juga, ada yang kata, "Takkan nak tunggu anak koma atau mati dulu baru nak bertindak?"

Awak nampak ke tindakan pengasuh awak akan buat begitu? Kalau nampak, ambil tindakan segera. Sebabnya, kita keluar mencari rezeki, begitu juga dengan pengasuh. Doa banyak-banyak agar kita mendapat pengasuh anak kita yang baik dan anak-anak kita tak hyper aktif sangat sehingga membuatkan pengasuh pening kepala. 

Budak kalau ada hyper aktif, memang sukar ibu bapanya nak larang/nasihatkan. Jadinya kena bawa berbincang, bersabar banyak-banyak agar tiada perkara buruk yang berlaku. Pengasuh atau ibu bapa perlu banyak bertolak ansur dan berbincang. 

Buatnya anak awak dua orang, seorang Ultraman dan seorang lagi Ninja Turtle, tak naya ke pengasuh itu dibelasah mereka berdua? Nak marah, anak orang pula. Terbantut niat mahu menegur. 

Nak jadi pengasuh ini, mental dan fizikal perlu kuat. Ibu bapa juga janganlah marah tak tentu pasal dan kena ingat siapa yang sanggup mengambil tugas menjaga anak kita di saat kita keluar mencari rezeki. Janganlah sesekali soal,

"Ibu! Ibu rasa berbaloi tak saya bayar pengasuh saya RM250 sebulan? Saya hantar anak jam 9 pagi dan ambil balik jam 5 petang" 

Kalau rasa tak berbaloi, mohonlah sedar dan jagalah anak sendiri. 

Memang orang boleh bercakap, "Tak kena kat anak kau, bolehlah cakap". 

Ini bukan sebab kena atau tak pada anak sendiri tetapi ini kita cakap tentang soal toleransi di antara pengasuh dan ibu bapa. Kalau boleh, hal-hal kecil usahlah diperbesarkan kerana masing-masing mencari rezeki. 

P/S : Dulu masa bujang pernah menjadi pengasuh, tetapi sekarang tidak lagi. Saya bukan jenis ibu bapa yang menghantar anak untuk diasuh tetapi saya tulis sebab geram dengan segelintir ibu bapa yang telrampau demand sehingga hal kecil diperbesarkan, padahal masalah yang timbul boleh dibawa berbincang. 

Yang terasa itu, minta maaf banyak-banyak, tetapi hal bayaran bulanan pun nak ambil serius, kita kena fikir yang pengasuh tolong jaga anak kita dan tidak mungkin pengasuh itu sama perangai seperti kita. Saya bersuara untuk pihak pengasuh yang dianiaya oleh segelintir ibu bapa. 

PENGASUH

Tidak kurang hebat juga ada segelintir pengasuh yang merisaukan kepala ibu bapa. Pengasuh itu manusia, ibu dan bapa pun manusia. Saya memang tidak berpihak kepada sesiapa tetapi saya cuba untuk beri pandangan secara adil. Kadang kala kita selalu baca/dengar pengasuh suka mendera, cubit sana sini, tampar anak orang sesuka hati. Merotan, tak bagi anak asuhan makan. Pengasuh, jika anda dibayar gaji yang setimpal dengan kerja, tolonglah jangan terlalu memandai-mandai dengan sikap anda yang terlalu prihatin. 
  1. Minta ibu bapa belikan nestum. Katanya anak asuhan lapar, susah nak tidur.
  2. Tiba-tiba tambah gula dalam susu EBM anak asuhan sebab susu ibu cair tak cukup zat. 
  3. Bekal yang disediakan oleh ibu bapa untuk anak-anak mereka tidak diberikan. Sebaliknya pengasuh beri makan makanan yang entah apa-apa. 
  4. Dera anak asuhan secara fizikal dan mental sehingga mereka ketakutan.
  5. Pengasuh minta gaji lebih awal dari tarikh yang dijanjikan. 
  6. Suap anak asuhan dengan ubat batuk.
  7. Nak cuti dan selalu minta cuti tanpa alasan yang kukuh.
Jangan jadi gila sesuka hati nak suap anak orang dengan makanan yang mengarut, sedangkan kita dah dapat gaji yang setimpal mengikut apa yang kita pinta. 

Yang paling tak gemar bila jam 12 malam, pengasuh hantar mesej maklumkan esok nak cuti, ada hal katanya. Sekali dua boleh terima lagi, tetapi kalau sudah berkali-kali, mendatangkan masalah. Bila ibu bapa nak potong gaji, pengasuh mula mencebik muka. 

Gaji dipotong sebab pengasuh banyak sangat cuti. Takkanlah jaga anak asuhan selama 15 tahun, 10 hari cuti tetapi nak minta bayaran penuh sebulan? Lebih baik mereka hantar anak mereka pergi taska yang kira mengikut jam.

Bukan tak boleh cuti tetapi biarlah bertempat. Dah nama kerja sebagai pengasuh, ibu bapa berharap pada pengasuh sebab pengasuh saja yang boleh tolong jaga anak sewaktu mereka sedang bekerja. 

Budak-budak ini, dia pandai bercakap. Mereka boleh bercerita segala apa yang mereka lalui di rumah pengasuh dan laporkan kepada ibu bapa mereka yang akhirnya membawa kecurigaan terhadap pengasuh. Pengasuh perlu ingat bahawa, tiada seorang pun ibu yang sanggup meninggalkan anak mereka dengan orang lain. Tetapi kerana tanggungjawab nak mengurangkan beban hidup untuk menyara keluar, mereka terpaksa. 

Tak semua ibu bapa yang demand atau tak berhati perut. Mereka bayar gaji pengasuh, korbankan jiwa raga tinggalkan anak yang ibarat nyawa pada tangan orang lain. Pengasuh ini satu pekerjaan yang mulia, jaga amanah orang lain dengan betul, bukan setakat gaji kita dapat tetapi pahala juga dapat. 

Jangan pernah mengeluh dengan apa yang kita pilih sebab itu kehendak kita. Budak-budak kalau nakal, itu memang perkara normal. Sebab itu kalau nak jadi pengasuh, mental dan fizikal perlu kuat. Bukan sekadar nak duit, kemudian lepas tangan dan amanah yang telah dipertanggungjawabkan. Jangan kita menjadi pengasuh yang berdendam. Kita marahkan ibu bapa, anak mereka pula yang menjadi mangsa cubitan kita, amarah kita. Anak-anak mereka tidak mengerti apa pun, sebab itu kita perlu toleransi. 

Nak jadi pengasuh kena ada naluri minta terhadap kerja mengasuh, bukan sekadar nak duit.


from Viral Semasa http://ift.tt/2myP67y
via IFTTT

About BaruLaViral

Powered by Blogger.
LIKE,SHARE PAGE DAN KLIK (X) UNTUK BACA Button Close