loading...
Wanita dedah rahsia hilang berat badan dari 82kg ke 56kg | Dulu saya suka makan lewat malam dan makan apa saja ikut selera tanpa memikirkan kesihatan. Tetapi apabila berat badan naik mendadak daripada 56 kepada 82 kilogram (kg), saya menyesal dan mula diet. Alhamdulillah, selepas tiga tahun berhempas pulas, kini saya dapat kembali kekal berat badan asal 56 kg, kata Faezah Rahman, 34. Kakitangan awam itu pernah mengalami masalah obesiti dan di atas kesedaran awal dapat membebaskan diri daripada masalah berkenaan.
Faezah berkata, rentetan daripada kesilapan lalu itu, dia menjadi seorang yang peka terhadap kesihatan diri dan sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat dengan melakukan senaman secara teratur selain menjaga pemakanan. Dalam tempoh berdiet kira-kira selama setahun, saya tidak minum minuman manis dan makan nasi. Saya adalah pengamal diet atkins iaitu mengurangkan berat badan melalui konsep pembakaran karbohidrat dan lemak di dalam badan dengan mengurangkan dan mengehadkan makanan berkarbohidrat, katanya.
Faezah Rahman
Katanya, dia memperbanyakkan pengambilan makanan berasaskan protein tinggi seperti ikan dan ayam bagi menggantikan karbohidrat. Setiap hari saya minum empat liter air masak bagi mengelakkan badan keletihan selain ia membantu mempercepatkan proses penurunan berat badan. Saya juga mengamalkan senaman tekan tubi sebanyak 60 kali sehari untuk kecergasan dan mendapatkan bentuk badan menarik, katanya yang bertekad untuk mengekalkan berat badan ideal sampai bila-bila.
Menurutnya, perubahan berat badan dapat dilihat dalam tempoh tiga bulan pertama dengan penurunan sebanyak 12 kg dan beberapa bulan kemudian menurun lagi lapan kg. Sementara itu kakitangan swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Ramlah,28, berkata, masalah obesiti yang dihidapinya beberapa tahun lalu menjadi mimpi ngeri dalam hidupnya kerana menjadi mangsa kutukan rakan-rakan. Saya berasa kecil hati apabila rakan-rakan panggil gemuk dan panggilan itu juga membuatkan saya berasa rendah diri. Sejak itu, saya nekad mahu menurunkan berat badan dengan berdiet termasuk tidak makan malam dan berat badan turun kepada 60 kg berbanding 72 kg sebelum ini, katanya. -Metro
Sumber: mediaberat66