loading...
Cikgu Tadika Cucuk Kemaluan Kanak Kanak Hingga Berdarah|Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dipercayai menjadi mangsa dera seorang guru perempuan di sebuah taman didikan kanak-kanak (tadika) di sini.
Kejadian itu disedari ibu mangsa berusia 35 tahun yang juga ketika mengambil anaknya pulang dari tadika tersebut kira-kira jam 4.30 petang pada 8 Ogos lepas.
Menurutnya, anak keduanya itu mengadu sakit di bahagian kemaluannya dan apabila sampai ke rumah dia terus memeriksa dan mendapati terdapat tompokan darah di seluar dalam anaknya.
“Anak saya cakap cikgunya telah cucuk kemaluannya guna jari telunjuk sebab dia telah terkencing dalam seluar, saya terkejut dan terus bawa anak saya ke hospital untuk buat pemeriksaan,” katanya.
Ekoran kejadian itu beliau membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pada 10 Ogos kira-kira jam 11 pagi selepas mendapat bantuan daripada pihak hospital bagi menegakkan hak anaknya dan berharap pesalah mendapat hukuman setimpal. “
Sekarang saya menyerahkan perkara ini kepada polis untuk mengambil tindakan lanjut kerana laporan telah dibuat dan saya tidak mahu perkara sama terjadi kepada orang lain,” katanya ketika ditemui di kediamannya kelmarin.
Akibat kejadian itu juga katanya, bukan sahaja anaknya yang trauma tetapi dirinya sendiri juga trauma dan sedih apabila mengenangkan kesakitan yang ditanggung anaknya.
“Saya terkilan sebab anak saya asyik ulang dia minta tolong dengan saya tapi saya tidak datang menolong dia, hati siapa yang tidak sayu bila anak sendiri yang cakap begitu,” katanya. Menurutnya, dia telah menghantar anaknya ke tadika berkenaan sejak Mac tahun ini bersama seorang lagi anak lelakinya yang berusia 2 tahun sepuluh bulan.
“Saya sebenarnya tertarik dengan tadika berkenaan tetapi tidak sangka kejadian seperti ini berlaku, jadi kepada ibu bapa lain jangan terpedaya tetapi selidik betul-betul sebelum hantar anak ke tadika,” katanya lagi.