loading...
Seorang bayi lelaki, Muhammad Fahrul Firnas Nor Azuan, 1 tahun 4 bulan telah meninggal dunia akibat lemas di dalam baldi yang berisi air di ruang dapur rumahnya di Bukit Gombang, Batu Kikir.
Kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 malam.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor, berkata, kejadian itu disedari bapanya yang mendapati anaknya berada di dalam baldi.
Katanya, ketika kejadian bapa berusia 32 tahun dan isterinya serta tiga orang anak iaitu anak lelaki berusia 8 tahun, anak perempuan berusia 3 tahun dan mangsa berada di rumah.
“Siasatan awal kita mendapati sebelum kejadian mangsa bersama kakaknya yang berusia tiga tahun bermain di dalam bilik.
“Si kakak telah keluar rumah dan pergi ke ibunya. Ibu bertanya mana adik dan kakak menjawab adik berada di bilik dengan ayah,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, selepas 10 minit kemudian, ibu mangsa berasa curiga apabila tidak mendengar suara bayinya itu lalu masuk ke dalam rumah dan bilik untuk melihat anaknya.
“Ibu mangsa dapati hanya suaminya sahaja berada di dalam bilik dan segera mencari di dapur sebelum melihat bayinya berada di dalam baldi dalam keadaan kepala tertonggeng di dalam baldi berisi air.
“Bapa mangsa segera mengangkat bayinya keluar dari baldi dan cuba memberi bantuan pernafasan tetapi gagal. Mereka segera membawa anaknya ke Hospital Kuala Pilah dan disahkan telah meninggal dunia,” katanya.
#Sumber Sinar Harian