loading...
Polis dedah Punca remaja wanita pandu kereta lawan arus|Model sambilan yang memandu melawan arus sehingga mengakibatkan kematian seorang lelaki semalam, mendakwa melihat seakan-akan ada lori di depannya menyebabkan dia membuat pusingan U berhampiran Plaza Tol Sungai Dua.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, berkata siasatan awal mendapati wanita berusia 19 tahun itu, berada dalam pengaruh alkohol dan dadah sehingga dia bertindak luar jangka.
Katanya, suspek yang berasal dari Taman Desa Murni sepatutnya memasuki susur keluar Sungai Dua untuk pulang ke rumahnya, namun terlajak sehingga ke Plaza Tol Sungai Dua.
“Suspek yang baru pulang minum di sebuah kelab bersama rakannya mendakwa ternampak sebuah lori di hadapannya menyebabkannya bertindak membuat pusingan U secara tiba-tiba sehingga bergesel dengan tiga kenderaan di situ.
“Suspek kemudian memandu laju kenderaannya secara melawan arus dalam jarak lima kilometer sebelum bertembung dengan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun yang mengakibatkan lelaki itu maut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah SPT, di sini, hari ini.
Dalam kejadian pada jam 7.50 pagi itu, wanita berkenaan memandu melawan arus hingga menyebabkan satu kematian dan empat pemandu lain cedera dalam kemalangan di Kilometer 134 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).
Nik Ros berkata, pihaknya menerima empat laporan polis berhubung kemalangan itu, manakala tiga laporan lagi diterima polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara.
“Lapan saksi iaitu orang awam yang menyaksikan kejadian itu dan pemandu yang terbabit juga sudah tampil memberi keterangan.
“Bagi kes ini, kita membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 44, Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Sementara itu, Majistret Bukit Mertajam, Dianne Ningrad Nor Azahar, membenarkan permohonan reman empat hari ke atas wanita berkenaan.
Tags: #pemadu wanita lawan arus #Polis dedah Punca remaja wanita pandu kereta lawan arus