ISU & KONTROVERSI

'Tak Payah Bagi RM50 Kat Nenek, Dia Bukannya Perlu Pun'

loading...

Saya sedang beratur di belakang, tengah menunggu giliran nak mengeluarkan duit dari mesin ATM. Di hadapan saya ada seorang makcik seusia ibu saya dan seorang anak lelakinya yang agak sebaya saya juga.

Dari belakang, saya boleh nampak si anak lelaki ini key in RM550 untuk pengeluaran. Wang kertas yang banyak dimasukkan ke dompet, namun sekeping RM50 dimasukkan ke kocek kemejanya. Paparan mesin ATM menunjukkan baki akaun jelas tertera nial wang 5 angka. 

"Nak buat apa RM50 tu? Nak beli barang ke? Kan tadi ayah dah pesan nak RM500 saja?" soal si ibu yang sedang menekan-nekan butang mesin ATM. Giliran si ibu pula mengeluarkan duit. 

"Nak bagi nenek," jawab anaknya.

"Banyak RM50 tu nak bagi nenek," celah ibunya. 

"Nenek orang tua, tak perlukan duit sebanyak itu. Dia dah ada duit dah tu. Tak bagi duit pun tak apa. Orang tua, bagi RM10 pun dah cukup. Tak bagi pun tak apa, orang tua kan," tambah si ibu sambil menunjuk ke arah kelibat seorang makcik bersama beberapa ahli keluarga lain di hujung sudut lain. 

Saya mengagak itulah 'nenek' yang dimaksudkan, mungkin sebaya dengan umur nenek saya sendiri. 

"Nenek macam tak ada duit je?" kata si anak lelaki ini. 

"Saja je tu. Kalau ada duit pun bukan nak buat apa," jawab si ibu dengan pantas.

"Nenek boleh simpan," anaknya cuba memujuk si ibu yang sudah memasukkan wang ke beg tangannya. 

"Tak payah bagilah. Banyak sangat RM50 tu. Jom!" tangan anaknya ditarik dan mereka berlalu pergi. 

Saya diam sahaja, bukan masa dan tempat yang sesuai untuk saya mencelah perbualan mereka anak beranak. Apatah lagi saya langsung tidak mengenali mereka. Namun, sebagai seorang lelaki yang turut bergelar seorang ayah, anak dan cucu, saya cukup terkilan dengan perbualan mereka. 

Si ibu secara tidak langsung sedang mengajar dan mendidik anak lelakinya agar kedekut dan berkira. Saya percaya anak lelakinya itu mempunyai sebab yang kukuh untuk memberi duit kepada neneknya agar warga emas itu gembira. Namun si ibu menegah anaknya berbuat demikian. 

Cuba bayangkan suatu hari nanti apabila si ibu yang bernama Aminah itu menjadi cukup tua dan si anak lelaki yang bernama Ali melarang anaknya yang bernama Abu, cucu kepada Aminah, daripada memberi sedikit wang kepada Aminah. Pada masa itu, Aminah perlu mengakui bahawa sifat kedekut dan berkira-kira yang ditunjukkan oleh Ali adalah berpunca daripada 'didikan' Aminah sendiri. 'Didikan' yang dulu semasa Aminah melarang Ali dari memberi 'sedekah' atau hadiah kepada neneknya yang berlaku hari ini di hadapan mesin ATM. 

Kerana bola itu bulat dan boleh berputar-putar, tidak mustahil perkara yang kita lakukan kepada orang hari ini akan dilakukan kepada kita suatu hari nanti. 

Berhati-hatilah wahai ibu bapa sekalian. Bukan duit yang didambakan tetapi sifat baik seorang manusia yang perlu ditanam ke dalam diri anak-anak kita. Biar kita ajar anak-anak kita suka berbakti kepada orang tua, menyayangi dan merapati orang tua, betapa pentingnya murah hati dan menggembirakan hati orang tua dan membesarkan anak-anak kita dengan nilai-nilai Islam yang indah.

"Bersedekah kepada orang miskin adalah satu sedekah dan kepada saudara mara ada dua (kebaikan); sedekah dan silaturrahim" (HR. Ahmad, Tirmidzi, Nasa'i, Ibnu Majah dan Hakim, Shahihul Jami' no. 3858)

Biar miskin kerana suka memberi, jangan kaya kerana pentingkan diri.

About BaruLaViral

Powered by Blogger.
LIKE,SHARE PAGE DAN KLIK (X) UNTUK BACA Button Close