loading...
Ketika menjadi pengetua sekolah dulu, suatu pagi seorang imam masjid yang saya kenali, menelefon saya. Katanya ada seorang budak sekolah di masjid, macam ponteng sekolah. Hari itu, hari guru 16 Mei, pelajar dan guru tidak berada dalam kelas tetapi di dewan dan padang dengan aktiviti sambutan.
Saya bergegas ke masjid yang disebut. Parking kereta agak jauh di penjuru masjid. Saya mula meninjau ke masjid. Tidak ada di balai lintang, saya menjengah ke dewan solat. Tidak ada juga. Tetapi ketika beralih ke bahagian muslimat, saya ternampak satu susuk tubuh. Saya segera ke bahagian itu dan memang ada seorang pelajar perempuan.
Dia terkejut melihat saya. Bibirnya terketar-ketar mengucap salam pada saya. Tangannya meraup sejadah lalu dipeluk ke tubuh, bagai seorang anak yang takutkan bapa yang garang.
Dia segera berdiri menghormati saya tetapi saya suruh duduk. Saya kenal pelajar ini kerana dia pernah naik menerima hadiah kecemerlangan di pentas.
"Kenapa ponteng sekolah? Sedangkan awak pelajar terbaik?"
"Tak ada apa cikgu," jawabnya.
Saya tidak berpuas hati kerana ini bukanlah tabiatnya. Saya terus mendesak dia bercakap benar.
Matanya mula berair bila dia memulakan bicara lagi. Saya tahu, dia akan berkata benar.
"Cikgu, saya malu nak ke sekolah hari ini kerana saya tidak ada hadiah untuk diberikan kepada guru sempena hari guru. Ayah tak ada duit untuk beli hadiah kerana waktu ini tengah bulan. Ayah saya kerja jaga, emak pula sudah meninggal," katanya menangis teresak-esak.
"Cikgu, saya malu ditanya rakan apa hadiah yang dibawa pada cikgu. Lebih malu lagi bila ada yang bertanya, 'Nurul tak bawa hadiah ke?' dan itulah yang berlaku pada tahun lalu," air matanya deras mengalir di pipi dikesat dengan kain tudung separuh lusuh.
About BaruLaViral