loading...
RIYADH – Tentera Arab Saudi dilaporkan berjaya memintas sebuah peluru berpandu dilancarkan dari wilayah dikuasai pemberontak Syiah Houthi di Yaman untuk menuju ke kota suci Makkah.
Media tempatan melaporkan, pemberontak disokong Iran itu dikesan
melancarkan peluru balistik jenis Scud buatan Rusia yang dikenali
sebagai Burkan-1 pada jam 9 malam Khamis waktu Arab Saudi (2 pagi Jumaat
waktu Malaysia).
Ia dipercayai ditembak dari wilayah Saada, kira-kira 544 kilometer dari
Makkah namun sistem pertahanan udara Arab Saudi berjaya memintas dan
memusnahkannya 65 kilometer sebelum sempat menuju ke lokasi sasaran.
Kementerian Pertahanan di sini berkata, serangan itu tidak menyebabkan
sebarang kerosakan. Jurucakap tentera, Mejar Jeneral Ahmed Asiri menuduh
Iran dan pengganas Syiah Hezbollah sebagai dalang misi serangan
tersebut.
Kedua-dua pihak berkenaan dipercayai menyokong Houthi malah melatih
pemberontak Yaman tersebut dalam penggunaan teknologi senjata canggih
untuk melancarkan serangan peluru berpandu jarak jauh sedemikian.
Dalam pada itu, agensi berita tempatan Saba melaporkan
jurucakap Houthi mengesahkan serangan berkenaan, tetapi mendakwa ia
sebenarnya konon disasar kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul
Aziz di Jeddah.

Mereka menjelaskan, sasaran peluru berpandu yang diubah suai itu
ditetapkan untuk memusnahkan terminal lapangan terbang paling sibuk di
Arab Saudi tersebut dan bukan Masjidil Haram kira-kira 60 kilometer dari
situ.
Namun dakwaan Houthi itu diragui kerana ini bukan kali pertama peluru
balistik ditembak menuju Makkah atau kawasan sekitarnya sebagai kempen
balas dendam atas siri serangan tentera bersekutu yang diketuai Arab
Saudi.
Awal bulan ini, agensi berita rasmi SPA melaporkan
satu peluru berpandu dilancarkan Houthi dari sempadan Yaman ke arah
pangkalan udara Arab Saudi di Taif kira-kira 111 kilometer dari masjid
terbesar umat Islam itu.
Kementerian Luar Yaman dalam pada itu mengutuk keras serangan tersebut
sebagai bukti Houthi memang tidak mahu kepada usaha perdamaian dan
menjadi ‘alat’ pemerintah Syiah Iran untuk memusnahkan negara berkenaan.
Liga Arab turut mengecam insiden itu manakala Al Azhar, institusi
pengajian Sunnah terulung di Kaherah, Mesir menyifatkan serangan jahat
tersebut tidak dilakukan oleh penganut Islam yang waras.
– Agensi/Mynewshub.cc/HAA