loading...
Sepertimana ramai orang tahu akan kewujudan Kota A Famosa di Melaka,
rasanya begitu juga ramai orang Melayu pernah mendengar cerita Si
Tanggang, seorang anak derhaka yang disumpah oleh ibunya sehingga dia
dan seisi kapal miliknya bertukar menjadi batu.
Cerita lagenda Melayu ini sangat terkenal sehingga ada beberapa lokasi
di Tanah Melayu dikaitkan dengannya, termasuk Batu Caves di pinggir
bandaraya Kuala Lumpur yang sekarang terkenal dengan kuil Hindu serta
patung dewa setinggi bangunan 14 tingkat di hadapannya.

Wilayah Indonesia juga memiliki cerita yang serupa, cuma nama wataknya
berbeza iaitu Malim Kundang. Kesannya dikatakan masih ada di Sumatera,
hingga kini masih kelihatan batu-batan berbentuk sauh, tali kapal,
manusia dan sebagainya. Tetapi berapa ramai yang tahu cerita anak
derhaka disumpah jadi batu ini juga dikatakan berlaku di Muar, lebih
tepat lagi di Bukit Treh, satu-satunya bukit yang terletak dalam
lingkungan 5 km daripada pusat bandar kedua terbesar di Johor itu.
![]() |
| Batu laut yang ditemui di Bukit Treh yang terletak 6km dari pantai. Ramai orang pelik bagaimana batu laut boleh sesat di bukit ini. |
Sekadar mengimbas kembali, Si Tanggang dilahirkan di kalangan keluarga
miskin yang duduk di pinggir hutan, ada yang kata daripada keluarga
orang asli. Apabila masuk remaja dia telah keluar merantau ke negeri
orang, ada pula cerita yang menyebut dia telah ditangkap rombongan
pendatang yang kemudian membawanya belayar ke negeri lain. Apapun, anak
muda ini sangat rajin, pintar serta pandai menyesuaikan diri dengan
keadaan. Maka dia berjaya menjadi saudagar kaya-raya dan turut menjadi
nakhoda kapal, dapat berkahwin dengan beberapa orang isteri (menurut
satu riwayat, tiga orang) dan isteri nombor tiga adalah seorang puteri
raja.
Pada suatu hari Si Tanggang telah keluar belayar membawa ketiga-tiga
isterinya berjalan. Kebetulan dan tanpa disedari dia telah singgah di
kampung halaman tempat asal-usulnya. Dipendekkan cerita, ibu-bapanya
yang telah lama tidak ditemui mendapat tahu tentang kedatangan seorang
saudagar yang memiliki ciri-ciri anak mereka yang hilang lalu pergi
menyiasat. Setelah pasti itulah Si Tanggang, mereka cuba merapatinya
dengan membawa makanan hutan kegemarannya semasa kecil dahulu.
Sebenarnya Si Tanggang sedar bahawa orang yang datang itu adalah
ibu-bapa kandung yang telah membesarkannya dahulu tetapi beliau terasa
malu hendak mengaku di hadapan orang-ramai terutama para isterinya yang
cantik rupawan lagi bangsawan. Apapun, menurut ceritanya, isteri ketiga
yang merupakan seorang puteri raja telah menyuruhnya menerima kedua
orang tua yang datang itu. Katanya, apa salah mengaku ibu bapa kandung
sendiri tak kiralah seburuk mana pun rupa mereka. Rupa-rupanya kata-kata
ini telah membuat Si Tanggang terasa lebih malu dan tersinggung. Beliau
mula mengeluarkan kata-kata kesat dan sumpah-seranah menyuruh orang tua
itu pergi.
Dalam keadaan hati hancur luluh dihina begitulah si ibu lalu menadah
tangan kepada Ilahi seraya berdoa, kalau betullah pemuda di hadapannya
adalah Si Tanggang yang pernah dikandungnya selama 9 bulan lebih, maka
buktikanlah dengan menukarkan segalanya menjadi batu.
![]() |
| Makam puteri raja di Bukit Treh. |
Oh baru teringat, ada satu sahaja perbezaan antara cerita Si Tanggang
yang dikenali ramai dengan cerita serupa di Muar. Watak utama di Bukit
Treh, Muar telah bertukar menjadi helang yang dikatakan sampai sekarang
kadang-kala berlegar di kawasan itu, helang lagenda yang dikenali
sebagai helang makku! Sebabnya, ia terlalu menyesal atas kesalahannya
lalu sering keluar terbang sambil menjerit merintih memanggil
ibunya,Makku! Jelaslah kalau begitu, watak itu ceritanya serupa dengan
cerita Si Tanggang tetapi orangnya lain.
Yang pasti, memang ada sebuah bukit kecil yang kalau diteliti rupanya
memang kelihatan seperti sebuah kapal yang terbalik. Dan ada kesan-kesan
bentuk rupa batu-batan yang menandakan kawasan itu pernah menjadi laut
suatu masa dahulu. Mengikut cerita orang tua-tua, di situ juga pernah
terdapat sebuah pintu gua di mana penduduk kampung boleh keluar-masuk
dan meminjam pinggan-mangkuk daripada alam bunian untuk digunakan dalam
majlis keramaian. Tetapi pintu gua itu telah lama terkambus, sejak
seorang penduduk kampung melanggar syarat kerana tidak memulangkan
pinggan-mangkuk yang dipinjam.

